mutakhir

Mayat disumbat dalam guni plastik, 13 individu ditahan polis

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Serdang: Seramai 13 individu termasuk tiga wanita ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemui disumbat di dalam guni plastik di sebuah stor di Taman Bukit Serdang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, semua tangkapan dilakukan di sekitar Lembah Klang.

"Bagaimanapun, tiga suspek wanita yang juga ahli keluarga (majikan mangsa) dibebaskan hari ini selepas keterangan mereka dirakam.

"Baki 10 lagi suspek adalah ahli keluarga majikan (suspek) dan rakan mangsa (pekerja majikan) yang berusia lingkungan 20-an hingga 58 tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anbalagan berkata, pihaknya mengenal pasti identiti mangsa iaitu seorang lelaki warga India berusia 41 tahun yang bekerja sebagai kerani kewangan di sebuah syarikat dengan majikannya sebagai suspek dalam kes itu.

"Siasatan awal dilakukan mendapati motif kejadian itu berpunca akibat masalah kewangan apabila mangsa dikatakan mengambil wang dari syarikat besi buruk dan kitar semula itu.

"Suspek yang mengetahui kehilangan wang dipercayai berjumlah puluhan ribu ringgit itu membawa mangsa ke lokasi kejadian dan menempatkannya di situ selama beberapa hari sehingga lelaki terbabit dibunuh," katanya.

Katanya, siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih diteruskan dengan semua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 11 Ogos nanti.

Semalam, Harian Metro melaporkan mayat lelaki tanpa identiti ditemui disumbat ke dalam guni plastik di sebuah premis stor besi buruk di Taman Bukit Serdang, di sini, selepas polis menerima laporan jam 1.30 tengah hari.

Disiarkan pada: August 5, 2023 @ 4:51pm
d