mutakhir

Wanita mengamuk tak dapat pinjam telefon, pukul muka pelajar dengan buku

Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kajang: Wanita ditahan selepas bertindak di luar kawalan dengan cara merampas dan menghempas telefon pintar milik pelajar sebuah kolej swasta di Sungai Long, di sini, kelmarin.

Sebelum kejadian itu, suspek yang berusia 51 tahun didakwa melemparkan wang ke arah anggota penguat kuasa selepas tayar kereta miliknya di kunci.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, suspek kemudiannya cuba meminjam telefon pintar dari sekumpulan pelajar namun tidak dibenarkan membuatkan wanita itu berang.

"Suspek meminta tolong untuk meminjam telefon bimbit bagi membuat panggilan tetapi mangsa dan rakannya memberitahu mereka sedang menggunakan peranti itu untuk menjalankan tugasan.

"Tiba-tiba suspek merampas telefon bimbit milik mangsa yang sedang dipegang seorang rakannya dan terus membaling ke arah jalan raya hingga mengalami kerosakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kedua-dua pihak pergi ke sebuah kedai serbaneka untuk berbincang dan mangsa meminta suspek bertanggungjawab atas kerosakan terhadap telefon bimbit miliknya.

"Ketika itu pihak polis tiba di lokasi kejadian dan meminta mangsa membuat laporan manakala suspek diminta mengikut anggota polis ke balai bagi tujuan siasatan lanjut.

"Tiba-tiba suspek memegang sebuah buku dan memukul muka pengadu. Kedua-dua kejadian itu sempat dirakam rakan mangsa sebelum ianya tular di media sosial," katanya.

Mohd Zaid berkata, setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada suspek mempunyai masalah mental atau tidak.

Katanya, suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427/324 Kanun Keseksaan bermula semalam.

Beliau berkata, polis turut merampas buku digunakan suspek berkenaan untuk memukul muka mangsa.

"Sebarang maklumat boleh menghubungi balai berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 0169985730," katanya.

Disiarkan pada: August 5, 2023 @ 6:01pm
d