mutakhir

Jaga hubungan dengan kerajaan Persekutuan demi rakyat

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Pendang: Pimpinan negeri pembangkang termasuk Kedah sepatutnya 'melembutkan gigi daripada lidah' demi hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan untuk kepentingan rakyat.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sikap sebaliknya hanya akan memberi kesan kepada rakyat khususnya dalam mendapatkan peruntukan bagi projek pembangunan.

"Kalau kita tidak selari sepatutnya kita tidak berkelahi dengan kerajaan Persekutuan, kita tetap perlu menjaga hubungan yang baik dengan kerajaan Persekutuan

"Dan kalau sebagai Menteri Besar, (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) dok hentam kerajaan dalam masa sama nak minta pertolongan kerajaan Persekutan, saya fikir tidak semudah itu dipertimbangkan sebab kita sebagai manusia mempunyai perasaan.

"Biasanya kalau kita nak minta sesuatu daripada orang, kena lembut gigi daripada lidah, ini keras lidah daripada gigi, contohlahkan. Saya ingat kalau Persekutuan bagi dia, bagi apa yang termaktub dalam perlembagaan seperti 'capitation grant' atau pemberian geran mengikut bilangan penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membantu calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Tiang, Mohamad Fadzil Zolkipli, di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno berkata, ia dianggap pelik jika pemimpin kerajaan negeri bersikap menghentam dan mengutuk Perdana Manteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi kemudian meminta sesuatu daripadanya.

"(Kalau) saya berasa malu, kita nak minta pertolongan orang, kita balun orang sepatutnya kita buat baik, kita bagitau alasan-alasan kenapa kita perlu bantuan, kita bagitau ini pilihan rakyat di negeri ini.

"Tapi (Kedah) tak selari dengan kerajaan Pusat, tak boleh buat apa," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah supaya bijak membuat pilihan masing-masing.

Disiarkan pada: August 11, 2023 @ 12:05pm
d