mutakhir

Wanita gagal mengundi, dakwa nama digunakan untuk undi pos

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Seorang pengundi wanita bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Paya Jaras, Selangor terkilan tidak dapat menunaikan tanggungjawab mengundi selepas namanya digunakan tanpa kebenaran untuk undian secara pos.

Nor Azizah Ahmad berkata, dia datang bersama suaminya dari Klang untuk mengundi di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Sungai Buloh.

Namun katanya, kerani pusat itu memberitahu namanya sudah didaftarkan untuk mengundi secara pos sedangkan dia tidak pernah membuat permohonan mengundi menggunakan kaedah itu.

"Sebelum ini, setiap kali mengundi saya memang datang sini.

"Tetapi kenapa kali ini nama saya digunakan untuk undi pos?

"Saya rasa sedih dan terkilan sebab benda ini berlaku kepada diri kita sendiri," katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di akaun TikTok, sungaibulohchannel.

Nor Azizah yang berhasrat membuat laporan polis mendedahkan perkara itu bersama seorang lelaki yang turut mempertikaikan ketelusan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Menurut lelaki itu, mereka juga sudah menghubungi pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mendapatkan pengesahan namun mengejutkan nama wanita itu tidak pernah didaftarkan untuk undi pos.

"SPR sudah semak, memang nama kakak ini, Nor Azizah Ahmad tak pernah buat permohonan untuk undi pos.

"Kita harap ada ketelusan PRN kali ini tiada strategi atau niat jahat pihak tertentu untuk menangkan pihaknya.

"Saya percaya ini bukan kes pertama (kerana) dihebohkan juga berlaku di Kedah cuma tak dapat kepastian betul atau tak fakta itu," katanya.

Terdahulu, seorang pengundi di Kedah juga terlepas peluang membuang undi selepas mendakwa, individu lain membuang undi menggunakan maklumat peribadinya.

Rozana Mokhtar, 35, dilaporkan berkata, dia mendapat makluman daripada petugas di pusat pengundian, namanya didaftarkan sudah membuang undi di Dun Lunas.

Disiarkan pada: August 12, 2023 @ 8:32pm
d