mutakhir

Hujan lebat jejaskan pergerakan masuk peti undi

Oleh Nor Amalina Alias

Kota Bharu: Hujan lebat mulai 7.30 malam menjejaskan sedikit pergerakan masuk beg peti undi di Pusat Penjumlahan Undi dewan Majlis Daerah Ketereh-Bandaraya Islam (MDK-BI), malam ini.

Proses membawa masuk beg peti undi itu dijalankan dalam keadaan petugas basah kuyup bagi memastikan kertas undi sampai ke dewan untuk proses pengiraan.

Pusat pengumpulan di situ membabitkan tiga Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Dun Melor, Kadok dan Kok Lanas yang menyaksikan perlawanan satu lawan satu antara calon Perikatan Nasional (PN) dan PH-BN.

Bagi Dun Melor menyaksikan Azmi Ishak (BN) menentang Wan Rohaimi Wan Daud (Pas); Dun Kadok antara Datuk Azami Mohd Nor dan calon Amanah, Ir Mohd Azizan Razak manakala Dun Kok Lanas ditandingi Ahmad Deraman (BN) menentang Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi.

Setakat jam 8.30 malam tadi, PN mendahului di ketiga-tiga Dun berkenaan.

Selain itu, kelibat calon PN Dun Melor, Wan Rohaimi Wan Daud dan calon Kok Lanas, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi sudah berada di pusat penjumlahan undi.

Disiarkan pada: August 12, 2023 @ 9:38pm
d