mutakhir

Aminuddin umum Isnin cuti di Negeri Sembilan

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Seremban: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan cuti peristiwa pada hari Isnin selepas gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengumuman itu dibuat dalam satu sidang media meraikan kemenangan calon-calon bagi dua gabungan itu.

"Saya nak umumkan bahawa hari Isnin adalah cuti peristiwa bagi Negeri Sembilan.

"Saya harap kita berehat sehari dua, selepas itu kita buat kerja dan pastikan kita bantu rakyat Negeri Sembilan ini," katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Aminuddin yang adalah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berkata, kemenangan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) adalah kemenangan indah bagi mereka.

Katanya, ini disebabkan sebelum ini, PH bersaing antara satu sama lain dan pihaknya juga tidak pernah terfikir akan bekerja sebagai satu pasukan.

"Dan kita merasai kemenangan (ini) juga sebagai satu pasukan. Inilah kemenangan yang kita harapkan.

"Saya yakin bahawa selepas ini masyarakat di luar sana akan melihat ini adalah pasukan terbaik yang pastinya akan membawa banyak kebaikan kepada rakyat Negeri Sembilan," katanya.

Menyentuh mengenai tewas di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), Aminuddin berkata, pihaknya tidak menjangkakan akan tewas di kerusi tersebut.

"Mungkin ada beberapa perkara yang harus kita buat bedah siasat selepas ini. Kenapa kekalahan ini berlaku dan bagaimana perkara ini harus kita atasi serta bagaimana penyampaian maklumat kepada mereka," katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa individu yang menjawat jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan belum dibincangkan.

Bagaimanapun katanya, mereka mengikut keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang menyatakan bahawa beliau kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

"Kita belum bincang tetapi setakat ini itulah keputusan daripada Perdana Menteri. Saya rasa tak ada masalah.

"Saya tadi menghubungi beliau dan Insya-Allah," katanya.

Disiarkan pada: August 13, 2023 @ 1:11am
d