mutakhir

PH-BN pertimbang fail petisyen batal keputusan 4 kerusi PRN Selangor

Oleh BERNAMA

Shah Alam: Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mempertimbang untuk memfailkan petisyen pilihan raya, bagi membatalkan keputusan beberapa kerusi yang dimenangi Perikatan Nasional (PN), dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, semalam.

Pengerusi PH Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, antaranya ialah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Taman Medan, Gombak Setia dan Dengkil, yang mana majoriti kemenangan adalah rendah.

Beliau berkata, keputusan bagi empat kerusi tersebut menyaksikan PH-BN kalah dengan 407 undi di Dengkil, Sungai Kandis (167), Gombak Setia (58) dan Taman Medan (30).

"Selain majoriti yang rendah, kita juga ambil maklum ada beberapa hal yang boleh dipertimbang untuk dibuat petisyen, seperti kes kertas undi tidak dikembalikan di Sungai Kandis.

"Pasukan peguam akan membuat penelitian lanjut mengenai kes di semua kerusi ini, sebagai pertimbangan dalam membuat petisyen," katanya ketika sidang media pada majlis pengumuman keputusan PRN Selangor di sini, hari ini.

Sidang media itu turut disertai pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo, Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Johan Abd Aziz.

Keputusan Rasmi PRN Selangor

Disiarkan pada: August 13, 2023 @ 1:17pm
d