mutakhir

Haram undi Suhaizan - Muhyiddin

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan haram hukumnya bagi mereka yang mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.

Muhyiddin mendakwa, ia sebagai menunjukkan bantahan dan kemarahan pengundi di Parlimen Pulai berikutan kerajaan Perpaduan tidak membantu rakyat dalam kesusahan.

"Jangan bagi satu undi pun pada pihak Suhaizan Kayat (calon PH di Parlimen Pulai), bekas Speaker (DUN Johor). Jangan bagi satu undi pun.

"Saya bagi hukum haram. Ada yang esok mencabar saya ini, ikut fatwa mana. Namun tak boleh (undi) kerana situasi yang sudah berlaku sekarang, sudah sembilan bulan berlalu ujian (bagi rakyat) macam soal kenaikan harga barang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana PN di Kempas, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan calon PN bagi PRK Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU mendakwa rakyat kini berada dalam keadaan tertekan dan kesusahan berikutan kos sara hidup terutama harga barang yang semakin melambung.

"Dalam mana kita ada sebuah kerajaan, rakyat biasanya mengharapkan kerajaan. Kita berdoa kepada Allah setiap kali sembahyang, tapi kita minta juga kerajaan bantu dan tolong supaya rakyat tidak menderita

"Namun apa yang dia (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) buat, namun itulah yang kita hadapi sekarang.

"Mana-mana saya pergi orang ramai cakap Tan Sri tolonglah. Saya cakap tolong apa, (rakyat jawab) harga barang naik. Baru-baru ini pun kata harga beras pun sudah naik," katanya.

Muhyiddin mendakwa, kerajaan PN sebelum ini prihatin dan mendengar suara rakyat yang kesusahan sebelum pelbagai bantuan disalurkan.

"Kita (kerajaan PN) buat yang terbaik dan kita tahu ada masalah (rakyat) kita selesaikan cepat. Namun kenapa (kerajaan Perpaduan) tak boleh buat.

"Oleh sebab itu masa PRK ini kita tunjukkan pada Anwar Ibrahim bahawa kita yang ada di Pulai akan tentang habisan Anwar dan kerajaan Perpaduan.

"Tidak akan beri satu undi pun kepada parti yang menentang calon kita Zulkifli Jaafar," katanya.

Disiarkan pada: September 3, 2023 @ 4:54pm
d