mutakhir

Muhyiddin bertaubatlah...

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru : "Suruh dia (Muhyiddin) bertaubatlah, jangan yang halal kita haramkan, itu bukan hak kita. Kempen itu berkempen juga, berpolitik pun politik juga, tapi bab soal akidah jangan buat main," kata Datuk Seri Mohamad Hassan.

Timbalan Pengerusi BN, itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengeluarkan 'fatwa' haram mengundi calon parti dari Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Sabtu ini.

Katanya bekas Perdana Menteri itu tidak seharusnya mempermainkan agama sebaliknya berkempen secara matang tanpa mencetuskan kontroversi.

"Sebagai seorang 'senior' dalam kancah politik, Muhyiddin sepatutnya menumpukan isu yang ingin dibawakan atau manifesto parti yang membawa kebaikan kepada rakyat.

"Jangan hendak kata tidak masuk syurgalah, macam-macam lagi dan sengaja mengeluarkan kenyataan yang mengundang kontroversi.

"Saya bagi nasihat kepada individu yang berpangkat 'abang-abang' saya itu supaya jadilah seorang yang 'gentleman'. Kita beritahu apa yang hendak kita lakukan, bukan keluarkan kenyataan seperti itu," katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Lembah Kempas, di sini hari ini.

Jelas Mohamad, visi Kerajaan Perpaduan cukup jelas untuk mempertahankan majoriti dua pertiga sekali gus membolehkan misi kerajaan untuk memulihkan ekonomi berjaya.

Katanya pembentukan kerajaan yang mantap menjadi kriteria utama buat pelabur.

"Ini jelas, selepas Johor menang sahaja (dengan majoriti dua pertiga) pada Mac lalu, Johor membawa masuk pelaburan RM70 bilion pada tahun lalu, iaitu 30 peratus daripada keseluruhan pelaburan negara.

"Sekarang, negara kita menjadi destinasi pelabur baru nak datang, contohnya Tesla pilih Malaysia, Infineon Technologies pula tambah pelaburan RM25 bilion di Kulim High Tech Park di Kedah," katanya.

Disiarkan pada: September 3, 2023 @ 8:50pm
d