mutakhir

Ahli politik perlu elak kempen sentuh sentimen keagamaan

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi

Kuala Lumpur: Kerajaan khuatir tindakan sesetengah pihak yang mengeluarkan kenyataan bersifat menghukum pihak tidak sealiran fahaman berupaya mencetuskan bibit-bibit perpecahan lebih serius serta mengancam keselamatan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, ucapan seorang pemimpin politik yang menyatakan hukum haram memberikan undi kepada seorang calon bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai boleh menimbulkan salah faham dalam masyarakat dan mencemar kesucian ajaran Islam.

"Penggunaan istilah haram mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka boleh didefinisikan kepada enam (6) maksud.

"Bagaimanapun, umumnya masyarakat di Malaysia mengaitkan penggunaan istilah haram dengan hukum syarak iaitu 'hukum tegahan (dalam Islam) yang dijanjikan ganjaran pahala bagi orang yang mematuhinya dan dosa bagi orang yang mengingkarinya'," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan media yang menyiarkan ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin menyatakan 'fatwa haram' apabila mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat pada hari mengundi bagi PRK Parlimen Pulai di Johor, Sabtu ini.

Video sebahagian ucapan Ahli Parlimen Pagoh itu mula tular dan diulang siar dalam media sosial sejak semalam, sehingga mengundang kecaman dan kritikan di kalangan netizen, selain digunakan parti lawannya untuk membuat serangan balas.

Mengulas lanjut, Mohd Na'im berkata, negara mempunyai pihak berautoriti dalam mengeluarkan pandangan hukum atau fatwa mengenai sesuatu perkara serta mahu semua pihak menghentikan segala kempen yang menyentuh sentimen keagamaan dan perkauman.

"Saya berharap kita semua menghormati pihak berautoriti dan tidak terpengaruh dengan hukum-hukum yang dikeluarkan untuk tujuan kepentingan politik kumpulan. Semua pihak yang terlibat dalam PRK kali ini dinasihatkan untuk bersaing secara sihat dengan mengemukakan buah fikiran serta idea-idea untuk membangunkan rakyat.

"Saya menyeru semua pihak agar bertanggungjawab untuk menghormati kesucian agama Islam, menjaga perpaduan dan keamanan masyarakat pelbagai kaum dan agama dalam negara yang tercinta ini," katanya.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, semalam turut menegur sikap segelintir ahli politik yang dilihat kurang tertib dalam menyampaikan ucapan politik sehingga sewenangnya mengeluarkan 'fatwa haram' kepada pihak tertentu, sekali gus mencetuskan permusuhan.

Tanpa merujuk mana-mana pemimpin secara khusus, beliau berkata, pemimpin politik sebaiknya bercerita mengenai perkara dan usaha untuk membangunkan negara, bukan tuduh menuduh antara satu sama lain yang akhirnya hanya mengundang sengketa.

Disiarkan pada: September 4, 2023 @ 12:51pm
d