mutakhir

Suhaizan anggap Muhyiddin silap bercakap

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: "Saya menganggap beliau silap dalam bercakap," kata Suhaizan Kayat berhubung kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa haram mengundinya sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRL) Pulai dalam ceramah baru-baru ini.

Katanya, kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu adalah tindakan yang tidak wajar dilakukan.

"Muhyiddin bukan seorang yang layak mentafsirkan hal berkaitan agama, apatah lagi memberi hukum halal dan haram.

"Sepatutnya beliau tidak boleh mengatakan hukum, apatah lagi mengharamkan sesuatu perkara," katanya . Saya menganggap beliau (Muhyiddin) silap dalam bercakap," katanya ketika berucap dalam kempen bertemu pengundi di Taman Cempaka di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hassan..

Sabtu lalu, Muhyiddin didakwa menyatakan haram hukumnya bagi mereka yang mengundi calon PH itu pada PRK Parlimen Pulai.

Muhyiddin mendakwa, ia sebagai menunjukkan bantahan dan kemarahan pengundi di Parlimen Pulai berikutan kerajaan Perpaduan tidak membantu rakyat dalam kesusahan.

Dalam pada itu, Suhaizan berkata isu banjir kilat di beberapa kawasan Parlimen Pulai antara masalah rakyat yang akan diberi perhatian olehnya.

Suhaizan berkata sebagai Setiausaha Politik kepada Mantan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub, beliau tahu isu banjir kilat antara permasalahan utama dihadapi masyarakat Pulai yang berada dalam kawasan bandar itu.

Katanya, enam lokasi dikenal pasti kerap berlaku banjir kilat iaitu Skudai Kiri, Ayer Molek, Kampung Pasir, Permatang, Tampoi Indah dan berdekatan Hospital Sultanah Aminah (HSA).

"Punca banjir kilat di kawasan ini antaranya kedudukan berdekatan dengan Sungai Skudai seperti Kampung Pasir dan Skudai Kiri.

"Kawasan lain pula adalah kawasan rendah, apabila hujan terlalu lebat dalam tempoh beberapa jam, ditambah air pasang besar pasti akan terjadi banjir kilat," katanya.

Menurut Suhaizan, beberapa masalah lain yang dihadapi masyarakat di kawasan Parlimen Pulai ialah tempat letak kereta di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai yang terlalu padat.

"Insha-Aallah semua isu ini akan saya beri perhatian selepas diberi mandat oleh rakyat pada Sabtu ini," katanya.

Disiarkan pada: September 4, 2023 @ 1:31pm
d