mutakhir

19,816 lot kubur dibuka di Putra Heights

Oleh Ashraf Mohd Khalid

Subang: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) hari ini membuka tanah perkuburan Islam kedua di Putra Heights yang mempunyai 19,816 lot kubur dengan keluasan 33.5 ekar tanah.

Datuk Bandar MBSJ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, pihaknya menjangkakan tanah perkuburan ini dijangka mampu bertahan selama 20 tahun akan datang.

Katanya, pembukaan tanah perkuburan ini juga disebabkan tanah perkuburan pertama seliaan MBSJ terletak di USJ 22 mempunyai kurang 2,000 lot sahaja lagi daripada jumlah keseluruhan 10,000 lot.

"Dalam masa kurang dua tahun, ia akan penuh. Disebabkan itu, kita sudah buat persediaan, sebelum di sana (USJ 22) penuh, di sini (Putra Heights) sudah ada," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Tanah Perkuburan Islam MBSJ Putra Heights di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property Berhad, Datuk Mohd Sohimin Mohd Alayedin dan Timbalan Datuk Bandar MBSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali.

Pembukaan tanah perkuburan yang menelan belanja RM6.7 juta ini juga hasil kerjasama Sime Darby Property Berhad.

Mengulas lanjut, Mohd Fauzi memaklumkan, pihaknya turut membangunkan sebuah aplikasi dikenali Sistem E-Pusara bagi memudahkan waris mengenalpasti lokasi kubur ahli keluarga mereka.

Katanya, Sistem E-Pusara ini boleh digunakan di tanah perkuburan Islam Putra Heights dan USJ 22.

"Tujuan aplikasi ini dibangunkan untuk mengenalpasti lot kubur dan memudahkan waris keluarga si mati," katanya.

Menurutnya, MBSJ juga akan menerapkan konsep kubur dalam taman di Putra Heights.

"Biasa dulu (kalau) pergi kubur menyeramkan, tapi di sini kita (nak) buat kubur dalam taman.

"Kita (akan) tanam pokok teduhan dan pokok bunga yang menarik serta memasang beberapa gazebo bagi kemudahan keluarga si mati," katanya.

Disiarkan pada: September 15, 2023 @ 2:14pm
d