mutakhir

Kekurangan beras putih tempatan berlaku kerana pembelian panik - Mat Sabu

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan kekurangan beras putih tempatan di pasaran adalah disebabkan berlakunya pembelian panik.

Beliau berkata, sebelum ini beras tempatan tidak dipedulikan, termasuk dalam kalangan peniaga sendiri.

"Sebelum ini, beras tempatan tidak dipedulikan sangat termasuk peniaga, tetapi apabila harga beras import naik, mereka mencari beras tempatan.

"Maka beras tempatan menjadi permintaan utama yang menyebabkan berlakunya sedikit kekurangan di pasaran," katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad turut memaklumkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) sedang menuai padi dan sudah mencapai lebih 20 peratus.

"Sekarang juga di Mada, padi sedang dituai. Sudah lebih 20 peratus dan beras tempatan akan berada di pasaran dengan lebih banyak dalam masa sebulan dua ini," katanya.

Mohamad juga memaklumkan jumlah keperluan beras negara masih lagi mencukupi untuk menampung keperluan beras negara bagi tempoh empat hingga lima bulan.

"Berkenaan kedudukan stok beras negara, sehingga kini stok bekalan beras adalah 900,000 tan metrik yang terdiri daripada 250,000 tan metrik simpanan stok kerajaan dan 650,000 tan metrik stok dagangan. Jumlah ini mencukupi untuk menampung keperluan beras negara bagi tempoh empat hingga lima bulan.

"Sehubungan itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berpandangan bahawa masih belum terdapat keperluan mendesak yang

bersifat kecemasan untuk menggunakan simpanan stok yang berjumlah 250,000 tan metrik.

"Stok dagangan sedia ada sebanyak 650,000 tan metrik adalah mencukupi bagi menampung keperluan domestik," katanya.

Sementara itu, beliau turut menolak cadangan Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung larangan penjualan beras putih tempatan kepada warga asing yang bekerja di negara ini.

"Tidak dibuat keputusan lagi sebab warga asing pun mereka perlu makan. Jangan lupa mereka bekerja, berkhidmat untuk membangunkan negara kita," katanya.

Disiarkan pada: September 18, 2023 @ 3:33pm
d