mutakhir

Tinjauan dapati, beras tempatan masih sukar diperoleh, beras import pula naik harga

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Beras putih tempatan masih sukar diperoleh di kebanyakan kedai manakala harga beras import pula mencatatkan kenaikan mendadak di ibu negara.

Perkara ini diakui peniaga pasar raya, Md Sentu, 43, dengan menyatakan dia sudah 15 hari tidak memperoleh bekalan beras tempatan dan hanya menjual beras import kepada orang ramai.

"Sudah 15 hari saya tak dapat beras tempatan, yang saya jual kini hanyalah beras import.

"Bagaimanapun, beras import ini semua mencatatkan kenaikan. Contoh, bagi beras import 10 kilogram (kg), mencatatkan kenaikan sekitar RM7 ke RM8," katanya kepada Harian Metro di sini, hari ini.

Katanya, dia hanya menjual beras yang sering dibeli atau diminta oleh orang ramai sahaja.

Selain itu, katanya, dia tidak memperoleh keuntungan yang banyak daripada penjualan beras.

"Paling banyak pun sekitar RM1.50 sahaja. Tak banyak sangat untung. Selain beras, barang lain yang tidak untung adalah telur, gula, minyak masak dan tepung," katanya.

Mekanik, Muhd Azam Omar, 50, turut tidak berpuas hati dengan harga beras import yang didapati di pasaran selain kesukaran untuk memperoleh beras tempatan.

Menurutnya, harga beras import dilihat mencatatkan kenaikan sekali ganda daripada harga asal dan beras yang selalu dibelinya juga sukar untuk diperoleh.

"Sekarang ini 'sakau' mana yang ada sahaja. Anak-anak nak makan, cucu nak makan. Terpaksa beli apa-apa jenis beras malah beras naik (harga meningkat) juga kena beli.

"Sebab perut kena isi juga, memang pada harga beras yang dijual itu saya tak berpuas hati. Kebiasaannya kalau dulu, naik sedikit sahaja tapi sekarang, naik sekali ganda bagi semua barang, tidak hanya beras," katanya.

Dia turut menggesa supaya kerajaan mengambil langkah yang sewajarnya dalam menurunkan harga barang seperti beras.

"Kalau boleh segerakan penurunan harga barang ini dan beras tempatan itu juga perlu dipulihkan kembali stoknya supaya mudah diperoleh," katanya.

Sementara itu, peniaga, Subarmi Saniman, 47, juga berpandangan harga beras kini dilihat 'melambung' tinggi berbanding sebelum ini.

Katanya, harga beras import yang selalu dibelinya kini naik sehingga RM8 bagi pek 10kg.

"Kalau orang kaya tak mengapa, tapi kalau orang miskin dan tidak ada kerja susah, ia membebankan mereka. Beras ini naik bukan RM2, tetapi sampai RM8," katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2023 @ 1:18pm
d