mutakhir

Projek ETS Gemas Johor bakal beroperasi April 2025

Oleh Ahmad Ismail

Segamat: Projek Landasan Berkembar Sistem Tren Elektrik (ETS) Gemas-Johor Bahru berjalan lancar dan sudah mencapai 93 peratus siap.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata khidmat ETS itu dijangka boleh digunakan sepenuhnya pada April 2025, sekali gus membolehkan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dihubungkan dari Padang Besar, Perlis ke Johor Bahru, Johor.

"Kita menunggu depoh yang dibuat di Kempas kini sudah mencapai 54 peratus, kita perlu sedikit masa.

"Namun pada masa sama, kita perlu lakukan ujian ETS dan sebagainya dahulu pada November 2024.

"Jadi saya rasa yang penting, projek ini berjalan lancar dan kita pastikan dalam secepat mungkin ia dapat menyediakan perkhidmatan ETS kepada masyarakat hingga ke Johor," katanya kepada pemberita selepas meninjau Stesen KTM Segamat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K Raven Kumar dan Pegawai Daerah Segamat dan Pegawai Daerah Segamat, Mohd Masni Wakiman.

Projek landasan berkembar sepanjang 192 kilometer itu, akan melalui 11 stesen dengan tren berkuasa 25,000 voltan itu akan bergerak selaju 140 kilometer sejam dan anggaran masa perjalanan dari KL Sentral ke JB Sentral adalah tiga jam 30 minit.

Manakala dari stesen Segamat ke JB Sentral memakan masa sejam 30 minit.

Mohamad Fazli yang juga ADUN Bukit Pasir itu berkata, ketika ini perkhidmatan ETS hanya ada di laluan Padang Besar, Perlis ke Kuala Lumpur dan yakin akan sentiasa mendapat sambutan kelak arah JB Sentral nanti.

"Untuk selatan pula, ia kini hanya perlu diperlengkapkan. Saya harap sedikit masa lagi dapat melengkapkan maka perkhidmatan itu boleh diakses," katanya.

Beliau berkata, kita juga merancang untuk menambah jumlah gerabak ETS di laluan berkenaan namun ia tertakluk kepada permintaan khidmat pelanggan.

"Sudah pasti (10 gerabak ETS) kita melihat itu mencukupi buat permulaan dan saya melihat potensi membawa penumpang ini adalah mod pengangkutan kini yang popular.

"Kita ada pelbagai perancangan antaranya berkait rapat sektor pelancongan," katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2023 @ 6:22pm
d