mutakhir

Syed Saddiq terjah pasar raya, kedai runcit cari beras, minyak, gula

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Isu kekurangan bekalan beras tempatan, minyak peket dan gula bersubsidi di pasaran menyebabkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bertindak melakukan pemeriksaan atau 'terjah' di empat buah pasar raya dan kedai runcit di kawasannya.

Menerusi video dan hantaran di media sosialnya, Syed Saddiq melakukan pemeriksaan itu bersama anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Dalam video berdurasi 1 minit 28 saat, Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu bertanya kepada peruncit mengenai minyak peket bersubsidi dan meminta peniaga untuk meletakkannya selalu agar dibeli oleh pengguna.

"Ini minyak subsidi? Tapi tak ada tadi. Dia kena selalu letak, kalau tidak orang marah saya," katanya ketika menasihatkan peniaga terbabit.

Beliau dalam masa yang sama turut bertanya mengenai bekalan beras tempatan dan dimaklumkan kali terakhir ia 'ada' adalah pada bulan lalu.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga mencadangkan beberapa penyelesaian jangka pendek dengan mengutuskan surat kepada menteri yang terbabit bagi mengadakan Jualan Rahmah di Parlimen Muar.

"Jualan ini saya dimaklumkan akan diadakan di Tangkak. Tangkak ini di luar Parlimen Muar. Kalau orang dari Sungai Balang nak pergi Tangkak, dia boleh makan masa sejam atau sejam setengah.

"Jadi orang 'bakar' minyak atau duit pengangkutan sahaja, itu lagi mahal daripada kos subsidi.

"Sebab itu, tidak adil untuk kita hanya menyukat menggunakan Jualan Rahmah atau solusi menggunakan Jualan Rahmah kerana orang nak beras, minyak peket ini ada di pasar raya tempatan supaya dekat," katanya.

Disiarkan pada: October 1, 2023 @ 4:17pm
d