mutakhir

Pengecaman plat kenderaan automatik digunakan bersama MLFF tahun depan

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kaedah pengecaman nombor plat kenderaan automatik bakal digunakan dalam pelaksanaan ujian percubaan sistem pembayaran tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) di lebuh raya tahun depan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pihaknya sedang membuat kajian di luar negara yang menggunakan kaedah MLFF seperti digariskan di bawah Pelan Intelligent Transport System (ITS) KKR 2019-2023.

"Setakat ini ada 416 lorong Pengecaman Frekuensi Radio (RFID) seluruh Malaysia. Memang (cadangan) kita hendak laksanakan MLFF dan letakkan RFID digunakan bersama automatic plate number recognition supaya ia akan lebih laju dan mengesan nombor plat kereta pengguna.

"Kita dalam proses kajian dan pada masa sama penggunaan itu secara percubaan pada 2024 kita hendak tengok keadaan sama ada ia lebih sesuai digunakan (di Malaysia)," katanya pada Waktu Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai penambahbaikan RFID serta sama ada kerajaan mahu melaksanakan sistem tanpa berpalang di Plaza Tol atau tanpa kutipan tol seperti dilaksanakan negara luar.

Mengulas lanjut Abdul Rahman berkata, kementerian dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sentiasa membuat analisis dan kajian untuk menambah baik sistem kutipan tol sedia ada supaya pengguna menikmati perjalanan lebih lancar.

"Antaranya lorong bagi setiap mod kita buat pemantauan. Kita juga terima banyak pandangan supaya penggunaan di tol Malaysia pada masa akan datang menjadi lancar.

"Malah, saya sendiri sudah tengok kaedah ITS dan kita sudah pergi melihat dan banyak negara menggunakan MLFF ini yang kegunaannya sangat terbaik," katanya.

Disiarkan pada: November 6, 2023 @ 12:40pm
d