mutakhir

6 selamat, 1 dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan resort

Oleh Zatul Iffah Zolkiply dan Nurul Fatihah Sulaini

Besut: Enam selamat manakala seorang lagi pekerja dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan bangunan tiga tingkat sebuah resort yang dalam pembinaan di Pulau Perhentian di sini hari ini.

Mangsa yang masih terperangkap dalam runtuhan itu dipercayai warga Indonesia dikenali sebagai Suparno berusia 40-an.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira 6.40 pagi.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira 5 pagi ketika semua mangsa tidur sebelum berlaku kejadian runtuhan berkenaan.

"Empat mangsa yang terdiri daripada tiga warga Rohingya dan seorang orang tempatan berjaya menyelamatkan diri dengan keluar daripada runtuhan berkenaan.

"Mangsa kelima dan keenam dikenali sebagai Jamil berusia 33 tahun dan Ramli berusia 48 tahun yang juga warga Indonesia ditemui pasukan penyelamat pada 12.53 tengah hari dan 1.18 tengah hari.

"Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut," katanya ketika ditemui pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian di Pulau Perhentian di sini hari ini.

Abdul Rozak berkata, usaha mengesan seorang lagi mangsa sedang giat dijalankan membabitkan lebih 70 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan Polis Marin.

Katanya, operasi turut dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia, Kementerian Kesihatan dan penduduk kampung serta pekerja resort berkenaan.

Disiarkan pada: November 9, 2023 @ 3:31pm
d