mutakhir

Nazir Razak selamat bernikah

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Adik kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak iaitu Tan Sri Mohamed Nazir dikatakan mendirikan rumahtangga dengan usahawan kosmetik dikenali Yati Zainudin, hari ini.

Majlis pernikahan pasangan itu dikongsi anak bongsu Najib, Norashman di laman sosial Instagram (IG), pagi tadi.

Menerusi gambar yang dimuat naik, Nazir yang mengenakan baju Melayu putih dan bersongket kelihatan menyarungkan cincin kepada wanita pilihan hatinya yang turut mengenakan busana pengantin berwarna putih.

Bersama gambar itu, Norashman turut menulis ucapan tahniah kepada bapa saudaranya itu.

Turut berkongsi berita pernikahan itu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes di akaun IG miliknya.

Beliau memuat naik beberapa keping gambar beserta hantaran seakan memaklumkan menghadiri majlis pernikahan itu yang dipercayai berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

"Getting ready to look beautiful for my bestie for his big day (Sedang bersiap untuk kelihatan cantik pada 'hari bahagia' kawan baik saya)," tulisnya.

Nazir, 57, iaitu bekas Pengerusi CIMB Bhd (CIMB) pernah mendirikan rumahtangga dengan Puan Sri Azlina Aziz dan dikurniakan dua cahaya mata.

Difahamkan, pasangan itu bercerai pada tahun ini.

Disiarkan pada: November 17, 2023 @ 6:17pm
d