mutakhir

Pelaksanaan PLKN disasarkan 2025

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)bukan pada tahun hadapan, sebaliknya ia disasarkan pada tahun 2025.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana peruntukan untuk melaksanakannya tidak dimasukkan dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada 13 Oktober lalu.

"Kemungkinan PLKN dilaksanakan semula pada tahun 2024 memang tak ada kerana tidak dibajetkan (dalam Belanjawan 2024) pun.

"Kalau kita nak menggunakan kem wataniah seperti mana yang saya sebutkan sebelum ini, kita perlu menaiktaraf dahulu kem tersebut. Ada 13 Kem Wataniah seluruh negara.

"Jadi, perincian mekanisme pelaksanaannya, kementerian akan bersama-sama dengan semua pemegang taruh terutamanya NGO (badan bukan kerajaan) masyarakat dan yang lain sebelum kita memuktamadkannya dan mendapatkan kelulusan untuk menghidupkan PLKN mungkin pada tahun 2025," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, program yang dimansuhkan pada 2018 itu diluluskan oleh Kabinet, untuk kementerian memulakan kajian bagi menghidupkan semula PLKN.

Beliau berkata, pelbagai pilihan dikaji termasuk cadangan supaya membabitkan penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Kita akan membawa dan menjemput mereka sebelum kita membawa semula kertas ke majlis Jemaah Menteri untuk diberikan kelulusan selanjutnya," katanya.

Disiarkan pada: November 23, 2023 @ 4:13pm
d