mutakhir

Lelaki ditahan memandu berbahaya, cederakan polis

Oleh Muhamad Lokman Khairi

Manjung: Seorang lelaki ditahan selepas didapati memandu secara berbahaya sehingga mencederakan orang awam serta anggota polis di sini, semalam.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, lelaki berusia 32 tahun yang memandu pacuan empat roda Toyota Hilux melanggar sebuah motosikal di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung.

Akibat perlanggaran itu, motosikal itu terperosok ke bawah Hilux sebelum diseret menyebabkan motosikal terbabit meletup dan terbakar, manakala penunggang kenderaan itu cedera.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, bimbang melihat suspek bertindak agresif, polis cuba menahan kenderaan berkenaan.

"Pasukan polis mengekori suspek dengan menaiki motosikal sehingga tiba di persimpangan lampu isyarat berdekatan pasar raya di Seri Manjung.

"Suspek bertindak agresif menghimpit motosikal anggota polis terbabit menyebabkan mereka terjatuh dan mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, susulan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Manjung bertindak mengesan dan menangkap suspek disyaki kurang siuman di jalan belakang Stesen Bas Manjung serta turut merampas Hilux miliknya, jam 7.30 malam semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Fariq Nazmi Mohd Mustafa di talian 013-3317099 bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: November 25, 2023 @ 2:38pm
d