mutakhir

7 lelaki rosakkan kereta sebelum saingan Selangor-Perak didenda

Oleh Suraya Roslan

Petaling Jaya: Padah merosakkan kereta di parkir Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebelum perlawanan antara Selangor FC dan Perak FC berlangsung, tujuh lelaki masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Nur Natasya Mohtarudin mengenakan denda itu selepas Muhamad Ainol Syukri Shariff, 28; Mohammad Hariz Suhaimi, 36; Norbadrul Amin Norazman, 27;Muhammad Ezwan Shah Mustapa Kamal, 24; Muhammad Othman Abd Rahim, 21; Muhammad Husaini Hamdi Azizi, 21 dan Azizi Abu Hassan, 36, mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mahkamah mengarahkan semua yang terbabit dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda terbabit.

Mengikut pertuduhan, tujuh lelaki itu sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang secara bersama mendatangkan kerosakan terhadap Honda FD milik seorang lelaki berusia 22 tahun membabitkan nilai kerugian RM15,000 di parkir berkenaan pada 4.50 petang, 25 November lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 149 KK yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, kesemua tertuduh memohon hukuman denda minimum atas alasan perlu menanggung keluarga, namun Timbalan Pendakwa Raya, Noor Khairun Nisa Noor Harun, mencadangkan hukuman berat dengan mengambil kira kerugian kerosakan.

Muhamad Ainol Syukri, Mohammad Hariz dan Aziz membuat rayuan itu menerusi peguam, Ainul Farihah Azizi, manakala empat lagi lelaki tidak diwakili peguam.

Sementara itu di mahkamah sama, dua lelaki iaitu Muhamad Afiq Azman, 29, dan Muhamad Taufiq Nasharudin, 30, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Noor Khairun Nisa memohon jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin masing-masing terhadap dua lelaki itu, manakala peguam mewakili tertuduh, Ainul Farihah mencadangkan jaminan yang lebih rendah ditawarkan pendakwaan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 31 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan 23 lelaki disyaki terbabit pergaduhan di Stadium MBPJ sebelum aksi Liga Super antara Selangor FC dan Perak FC.

Disiarkan pada: December 1, 2023 @ 2:21pm
d