mutakhir

Wajar denda hingga RM10 juta, hukum pesalah pencemaran alam sekitar

Oleh Omar Ahmad

Iskandar Puteri: Pesalah yang bertanggungjawab terhadap pencemaran alam sekitar termasuk pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang pada 2019 sepatutnya dikenakan penalti yang tinggi, termasuk hukuman penjara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K Raven Kumar menegaskan hukuman sedia ada dilihat terlalu ringan dan tidak berbaloi dengan kesan akibat pencemaran yang terpaksa ditanggung.

Katanya, pencemaran bukan hanya menjejaskan kesihatan rakyat bahkan membelanjakan jutaan ringgit wang kerajaan bagi pemulihan.

"Kerajaan negeri dan persekutuan telah berbelanja banyak untuk perbetulkan keadaan, tetapi apabila hukuman diberi dilihat tidak berbaloi, ia menyedihkan. Namun dalam masa sama kita tidak menyalahkan mahkamah, sebaliknya perlu lihat semula akta dan denda ditetapkan.

"Kita perlu tingkatkan hukuman melibatkan kes-kes seperti ini, tingkatkan jumlah denda sehingga RM5 juta atau RM10 juta, berikan hukuman penjara atau khidmat komuniti sekali, baharulah pihak terbabit tidak akan mengulanginya," katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kerusi Kitar Semula oleh Petron di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri juga sedia membantu memudahkan urusan saman kepada pelaku, dan perlu dilaksana berlandaskan undang-undang.

Bulan lalu, mahkamah mengenakan denda maksimum RM100,000 ke atas pemandu lori kerana menyebabkan pencemaran, membabitkan pelupusan haram buangan terjadual di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor pada 2019.

Jabatan Alam Sekitar memaklumkan, syarikat P Tech Resources Sdn Bhd, yang berdepan lapan pertuduhan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, juga didenda RM40,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan denda RM320,000.

Pencemaran Sungai Kim Kim menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam sehingga 111 sekolah di Pasir Gudang terpaksa ditutup dan 947 orang dirawat dengan sembilan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail.

Disiarkan pada: December 6, 2023 @ 4:59pm
d