mutakhir

Zayn Rayyan meninggal dunia: Polis rakam keterangan saksi, keluarga, jiran

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi dan Suhanna Iskandar

Petaling Jaya: Polis akan merakam keterangan saksi, keluarga dan jiran kanak-kanak austisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditemui meninggal dunia di kawasan anak sungai dekat Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abd Hamid berkata, buat masa ini kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

"Proses bedah siasat juga dijalankan di Hospital Sungai Buloh bermula 9.30 pagi hari ini.

"Keterangan saksi kejadian, keluarga dan jiran juga akan diambil," katanya.

Harian Metro malam tadi melaporkan Zayn Rayyan, 6, ditemui meninggal dunia di kawasan sungai berhampiran kediamannya.

Kanak-kanak berkenaan ditemui kira-kira jam 10 malam.

Penemuan kanak-kanak berkenaan susulan Op Tutup rumah ke rumah dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang bermula 9 malam tadi.

Kanak-kanak berkenaan ditemui kira-kira 100 meter dari kediamannya.

Zayn Rayyan dilapor hilang sejak 12.30 tengah hari Selasa lalu.

Ibunya yang berkongsi di Facebook mengenai kehilangan Zayn Rayyan yang dikatakan masih berpakaian seragam sekolah.

Disiarkan pada: December 7, 2023 @ 10:36am
d