mutakhir

Zayn Rayyan amat lembut, baik seperti bayi baru lahir

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Petaling Jaya: "Dia seorang yang amat lembut seperti bayi baru lahir. Dia tidak pernah nak menyusahkan saya atau sesiapa pun, termasuk ibunya," ujar Auni Afiqah Abas, 28, pengasuh kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, enam tahun, yang ditemui mati dibunuh berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai di sini, Rabu lalu.

Auni Afiqah Abas, 28, berkata, kematian Zayn Rayyan amat perit untuk diterimanya sehingga kini.

"Masih terasa sakit tertusuk di dada susulan kehilangannya. Dia tidak pernah kacau orang. Malah dia tak pernah sentuh budak lain termasuk anak saya sendiri. Dia hanya cuit tanda ajak bermain," katanya ketika ditemui wartawan semalam.

Auni berkata, dia pasti akan terbayang wajah Zayn Rayyan yang suka duduk di kerusi dan meja kegemarannya.

"Malah Zayn Rayyan dia suka berdiri di tingkap sambil menanti kepulangan ibunya.

"Saya juga tidak dapat melupakan makanan kegemaran Zayn Rayyan iaitu spaghetti goreng, bihun goreng serta ayam masak cili api," katanya.

Sementara itu, ibu mentua Auni Afiqah, Che Zaiton Abd Aziz, 54, mengakui amat menyayangi dan rapat dengan kanak-kanak istimewa itu.

Dia yang dipanggil Umi oleh kanak-kanak itu berkata, Zayn Rayyan gemar berbaring di ribanya.

"Zayn Rayyan akan duduk sebelah saya, baring atas riba saya. Itu memang tak pernah dibuat oleh anak asuhan lain," katanya.

Pada Selasa lalu, Zayn Rayyan dilaporkan hilang selepas pulang dari sekolah jam 12.30 tengah hari, sebelum ibunya membuat hebahan di media sosial dan laporan polis.

Mayat mangsa bagaimanapun ditemui dengan kesan kecederaan pada leher dan badan pada malam Rabu lalu.

Disiarkan pada: December 8, 2023 @ 3:00pm
d