mutakhir

Tiada tanda Zayn Rayyan didera - Polis

Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Petaling Jaya: Siasatan awal polis mendapati tiada tanda-tanda berlakunya penderaan fizikal terhadap Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditemui meninggal dunia pada Rabu selepas dilaporkan hilang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia susulan ada segelintir pihak yang menyalahkan keluarga Allahyarham malah menyebarkan pelbagai komen negatif berhubung kes itu.

"Hasil bedah siasat sebelum ini mendapati tiada sebarang kecederaan yang menunjukkan mangsa ini didera.

"Saya melihat keluarga ini menjaga anak mereka dengan baik dan saya pasti sesiapa sahaja yang mengalami perkara sebegini akan sedih," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Flat Damansara Damai di sini, hari ini.

Menurutnya, orang ramai diminta supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguris perasaan ahli keluarga dan waris Allahyarham.

"Ambil kira perasaan keluarga, dan perkara paling utama adalah hentikanlah salahkan keluarga dalam perkara ini.

"Apa pun biar polis jalankan siasatan, saya beri jaminan polis akan lakukan yang terbaik sehingga suspek terbabit akan segera dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Disiarkan pada: December 8, 2023 @ 9:54pm
d