mutakhir

Tempuh perjalanan mencabar demi amanah

Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Meskipun terpaksa menempuh perjalanan mencabar termasuk menaiki perahu kecil untuk menyeberangi sungai, ia tidak menghalang jururawat di luar bandar Sabah untuk melaksanakan tugas terhadap pesakit yang memerlukan rawatan.

Kegigihan itu ditunjukkan seorang jururawat masyarakat di daerah Pitas, kira-kira 200 kilometer dari sini, yang terpaksa menaiki perahu kecil dan berjalan untuk ke rumah pesakit yang baru bersalin.

Kisah jururawat terbabit tersebar selepas satu klip video yang memaparkan situasi dihadapinya ketika menaiki sebuah perahu kecil untuk menyeberangi sungai yang agak lebar bagi menemui pesakit, tular di media sosial baru-baru ini.

Berdasarkan klip video itu, jururawat terbabit bersama seorang rakan setugasnya menaiki perahu kecil dengan berpakaian seragam putih yang dikotori lumpur dan kelihatan bimbang sepanjang menaiki pengangkutan sungai itu.

Klip video berkenaan mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya mendoakan keselamatan jururawat yang terpaksa menempuh cabaran sukar, khususnya yang bertugas di luar bandar dan kawasan terpencil.

Mengulas klip video itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Asits Sanna berkata, jururawat masyarakat terbabit sedang bertugas membuat lawatan rumah ke sebuah rumah pesakit di kawasan pedalaman.

Katanya, kejadian itu dirakam pada 28 November lalu oleh seorang penduduk kampung yang turut sama dalam perahu ketika jururawat masyarakat dari Klinik Desa Mandurian, Pitas itu sedang dalam perjalanan menyeberangi sungai ke Kampung Mangkabusu, Pitas untuk membuat lawatan rumah dan menjalankan pemeriksaan serta rawatan lanjut ke atas pesakit yang baru bersalin.

"Jururawat masyarakat berkenaan tidak sempat balik ke rumah untuk menukar pakaian yang sesuai contohnya memakai seluar gelap apabila menjalankan tugas di lapangan.

"Ini kerana jarak di antara Kampung Mangkabusu dengan rumah jururawat masyarakat berkenaan adalah 100 kilometer sedangkan jururawat masyarakat perlu memberi perkhidmatan kesihatan yang segera kepada pesakit berkenaan," katanya menerusi kenyataan, baru-baru ini.

Dr Asits berkata, sebelum perjalanan bermula, jururawat masyarakat itu dilaporkan tergelincir ketika sedang menaiki perahu menyebabkan sebahagian pakaian seragamnya terkena lumpur.

Bagaimanapun, katanya jururawat masyarakat berkenaan sudah membersihkan kotoran yang terkena pakaian seragamnya sebelum memberi rawatan kepada pesakit.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan bertarikh Julai 2014, jururawat yang menjalankan tugas di lapangan dibenarkan memakai seluar berwarna biru gelap.

Sebagai penambahbaikan, katanya JKNS akan menyemak dan menambah baik prosedur kerja kakitangannya, terutama yang terbabit dalam tugas lawatan ke rumah pesakit, termasuk berkaitan peralatan logistik yang digunakan petugas kesihatan ketika menjalankan tugas di lapangan.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan menghargai pengorbanan dan dedikasi warga kerjanya terutama jururawat masyarakat yang bertugas di pedalaman Sabah dalam menjalankan tugas perawatan kepada rakyat meskipun berdepan cabaran besar seperti isu logistik dan geografi.

Disiarkan pada: December 9, 2023 @ 12:11pm
d