mutakhir

Polis tunggu pemilik dashcam tampil bantu kes bunuh Zayn Rayyan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Petaling Jaya: Polis masih menunggu pemilik video kamera papan pemuka (dashcam) yang kenderaannya di parkir di sekitar Apartment Idaman, Damansara Damai, di sini untuk tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid berkata, pihaknya yakin penduduk akan memberi kerjasama yang baik.

"Setakat ini, kita tidak boleh tahu berapa dashcam yang ada, kalau dapat kita akan sahkan," katanya pada sidang media di lokasi kejadian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Fakhrudin berkata, empat anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bukit Aman juga dikerahkan ke lokasi kanak-kanak itu ditemui bagi mengesan sekiranya terdapat penemuan petunjuk baharu.

"Kita juga gerakan pasukan forensik bagi mengesan penemuan baharu yang boleh membawa kepada suspek

"Polis tidak akan berputus asa dan akan meneruskan usaha menjejak suspek ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis meneruskan pencarian bukti-bukti yang dapat membantu dan akan sentiasa berada di kawasan berkenaan.

"Penduduk dan keluarga mangsa memberi kerjasama penuh sejak hari pertama lagi.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai perkara ini boleh tampil pihak kami (polis) mengukuhkan lagi siasatan selain daripada penemuan saintifik dan keterangan awam yang boleh membawa kepada suspek," katanya.

Terdahulu, operasi mencari bahan-bahan bukti membabitkan Zayn Rayyan diteruskan pada hari ketiga di Apartmen Idaman, Damansara Damai dan sekitar lokasi mayat kanak-kanak itu ditemukan hari ini.

Turut hadir ke lokasi, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib.

Disiarkan pada: December 9, 2023 @ 5:22pm
d