mutakhir

Laporan bedah siasat Zayn tidak boleh didedahkan kepada umum

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Petaling Jaya: Laporan bedah siasat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, tidak boleh didedahkan kepada umum kerana dikhuatiri akan mengganggu siasatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid berkata, setiap maklumat yang diperolehi pihak polis perlu dijaga kerahsiaannya.

"Apabila kita dapat maklumat, sudah pasti Ketua Polis Selangor akan maklumkan," katanya pada siang media di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, Mohamad Fakhrudin mengingatkan, siasatan akan dilakukan terhadap mana-mana individu yang memberi laporan tidak tepat sehingga mengaibkan keluarga mangsa.

"Polis juga akan buka laporan sekiranya ada komen-komen daripada orang awam yang palsu dan boleh mengganggu ketenteraman awam.

"Tindakan tegas juga diambil kepada mereka yang menyebarkan maklumat sehingga mencemar maruah keluarga mangsa. Kita (polis) memandang serius perkara ini," katanya.

Terdahulu, empat anjing Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dikerahkan ke lokasi kanak-kanak itu ditemukan bagi mengesan sekiranya terdapat petunjuk baharu.

Turut hadir ke lokasi, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib.

Siasatan yang memasuki hari ketiga itu masih menumpukan di lokasi kejadian bagi mencari bukti dan petunjuk baharu.

Disiarkan pada: December 9, 2023 @ 6:02pm
d