mutakhir

Kes bunuh Zayn Rayyan: Keterangan belum cukup untuk kesan dalang

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi; Hafidzul Helmi Mohamad; Sudirman Mohd Tahir; Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil dan Suharmin Yusuf

Petaling Jaya: Keterangan yang ada masih tidak mencukupi bagi mengesan dalang pembunuhan kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin,6, yang mana operasi akan terus dijalankan bagi mengumpul maklumat secara besar-besaran sehingga menemui petunjuk.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata, keterangan yang ada pada ketika ini tidak memadai untuk membolehkan pihak polis mengesan seterusnya menahan suspek yang mendalangi kematian kanak-kanak itu.

Menurutnya, maklumat yang diperoleh polis pada masa ini terhad, justeru polis kini perlu bekerja keras mengumpul maklumat yang boleh membantu siasatan.

"Seperti yang saya sebut semalam, kes bukan 'straight forward', keterangan yang ada adalah terhad. Justeru kita masih mengumpul maklumat termasuk menunggu keputusan analisa forensik daripada Jabatan Kimia.

"Menerusi hasil forensik itu nanti dapat memberikan kita 'clue' (petunjuk) bagi mengecilkan skop siasatan kita seterusnya mengesan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengenai proses mengumpul maklumat menerusi pertanyaan dan pencarian dari rumah ke rumah, Hussein berkata, proses itu akan dijalankan semula pada petang dan malam ini.

"Setakat ini kita sudah selesai menjalankan proses itu di tiga daripada 18 blok kediaman yang ada di Apartmen Idaman membabitkan 540 unit rumah.

"Kita akan sambung semula pada petang dan malam ini," katanya.

Di Apartmen Idaman yang juga kediaman keluarga mangsa Zayn Rayyan terdapat 18 blok terdiri daripada 2,484 unit rumah serta kedai.

Disiarkan pada: December 9, 2023 @ 6:16pm
d