mutakhir

Polis periksa stor berhampiran lokasi

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Petaling Jaya: Polis turut menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah stor simpanan terletak kira-kira 50 meter dari Blok R, Apartmen Idaman di Damansara Damai, di sini, bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6.

Tinjauan portal Harian Metro hari ini mendapati dua anjing pengesan (K9) iaitu Gucci dan Ricks serta Unit Forensik dilihat berada di stor yang menyimpan kerusi plastik, motosikal dan barangan khemah berkenaan kira-kira empat jam

Seekor daripada anjing berkenaan kemudian dibawa ke Blok R bagi melakukan pengesanan di beberapa unit di apartmen berkenaan.

Pemilik stor, Noraini Ahmad, 51, berkata premis berkenaan sentiasa dikunci dan hanya dibuka sekiranya mahu mengeluarkan motosikal bagi kegunaan harian ahli keluarganya.

Menurutnya, anjing pengesan melakukan pemeriksaan kira-kira sejam di stor berkenaan sebelum dia dibenarkan mengunci semula premis itu.

"Namun, polis menghubungi saya semula tidak lama kemudian untuk membuka kunci stor bertujuan menyambung semula kerja-kerja penyiasatan," katanya memaklumkan Unit K9 dan Unit Forensik meninggalkan lokasi pada 2.15 petang.

Turut hadir ke lokasi, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi.

Semalam, dua anjing K9 iaitu Falco dan Jimmy dibawa ke lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan iaitu di anak sungai berdekatan Blok R.

Anjing pengesan sebelum ini adalah watak utama dalam usaha pencarian beberapa insiden dalam negara kerana memiliki kepakaran tersendiri yang tiada tandingnya berbanding peranti moden.

Operasi di lokasi kejadian pada hari keempat ini dimulakan sekitar 10 pagi tadi.

Disiarkan pada: December 10, 2023 @ 4:16pm
d