mutakhir

Kes Zayn Rayyan: Polis jumpa stoking dalam kolam

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Polis menemui sehelai stoking dalam takungan air di kawasan anak sungai berhampiran lokasi mayat Zayn Rayyan ditemukan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya belum dapat memastikan sama ada stoking berkenaan milik kanak-kanak autisme itu.

Katanya, stoking berkenaan adalah antara barangan dan objek yang dihantar ke makmal untuk dianalisis.

"Kita jumpa sehelai (stoking) sahaja tetapi perlu buat pengesahan lanjut sama ada kepunyaan mangsa atau bukan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, pihak polis mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor bagi membantu menyedut keluar takungan air di lokasi penemuan mayat mangsa.

Proses itu dilakukan bagi melihat sama ada wujud bukti baharu, namun tiada penemuan sebelum, proses itu disambung pagi tadi.

Terdahulu, pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan pemeriksaan selama dua jam di Blok R Apartmen Idaman semalam, membawa keluar dua kotak dipercayai berisi bahan bukti.

Zayn Rayyan yang dilapor hilang pada 5 Disember lalu ditemui meninggal dunia pada 6 Disember dengan mayatnya ditemui di kawasan saliran air berhampiran rumahnya di Apartmen Idaman.

Disiarkan pada: December 13, 2023 @ 10:35pm
d