mutakhir

Dua anggota polis disyaki samun, rogol penuntut asing digantung tugas

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Dua anggota polis yang ditahan kerana disyaki terbabit kes samun dan rogol remaja perempuan warga Uzbekistan kelmarin, akan digantung tugas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tindakan itu diambil sementara siasatan dijalankan.

"Ya, (dua anggota polis) akan terus ditahan kerja sementara siasatan dilengkapkan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Semalam, media melaporkan dua anggota polis ditahan kerana disyaki terbabit kes samun dan rogol remaja perempuan warga Uzbekistan dalam kenderaan peronda polis (MPV) di Bukit Ampang, di sini.

Hussein dilaporkan berkata, polis menerima dua laporan daripada lelaki dan remaja perempuan warga asing yang juga penuntut kolej swasta.

Menurutnya, kejadian berlaku pada jam 10.09 malam Selasa, ketika mangsa dan rakan lelakinya berada di Bukit Ampang View, ditahan oleh dua suspek yang lengkap beruniform.

Katanya, kedua-dua suspek bertindak membawa mangsa dan rakannya ke tempat yang berasingan.

Dalam kejadian itu, seorang suspek merogol mangsa manakala rakan lelaki pula dibawa ke bank kerana perlu menjelaskan bayaran yang diminta oleh kedua-dua suspek atas kesalahan lalu-lintas.

Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menangkap kedua-dua suspek dan direman selama tujuh hari.

Disiarkan pada: January 12, 2024 @ 3:14pm
d