mutakhir

Pelajar patah tulang pinggul, dihempap runtuhan dinding

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Setiu: Pelajar perempuan berusia 16 tahun patah tulang pinggul kiri selepas dihempap runtuhan dinding konkrit di asrama sekolah di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Affandi Hussin berkata, kejadian dipercayai berlaku jam 11.10 pagi ketika mangsa bersama seorang rakan sedang membasuh baju di kawasan kolah di asrama berkenaan.

Beliau berkata, dua pelajar yang sedang membasuh baju itu kemudian terdengar bunyi pelik di bawah binaan tempat mengambil air wuduk sebelum berlakunya runtuhan.

"Ketika itu, rakan mangsa sempat melarikan diri namun mangsa gagal berbuat demikian menyebabkan dia dihempap dan tersepit di bawah runtuhan.

"Mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba sebelum dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Setiu untuk rawatan.

"Bagaimanapun, mangsa yang patah tulang pinggul kiri dan disyaki mengalami kecederaan pada bahagian perut akan dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Mohd Razli Rapaie berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 11.22 pagi sebelum sembilan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sebaik tiba, mangsa terperangkap di bawah runtuhan konkrit sebelum kerja-kerja menyelamatkan pelajar itu segera dijalankan.

"Kita mengambil masa kira-kira 15 minit untuk membawa keluar mangsa dengan menggunakan peralatan khas sebelum dia diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2024 @ 5:43pm
d