mutakhir

Wanita berbogel berjalan seorang diri di tasik, ditemukan lemas

Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Ampang: Wanita tidak berpakaian yang dilihat berjalan seorang diri di Tasik Pandan Lake View, Pandan Perdana di sini, ditemukan maut akibat lemas hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada orang awam pada 8.13 pagi tadi.

"Menurut saksi kejadian yang berada di kawasan tasik berkenaan, mangsa dikatakan dalam keadaan tidak berpakaian masuk ke dalam tasik dan dipercayai lemas.

"Mangsa dipercayai seorang wanita yang belum dikenal pasti identitinya dan mempunyai tanda suntikan BCG (bacille Calmette-Guerin) di bahu kiri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa yang berusia lingkungan 40-an dibawa naik oleh pihak bomba dua jam selepas kejadian itu dilaporkan.

Bagaimanapun katanya tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan pada mangsa.

"Mangsa kemudiannya di hantar ke bahagian Forensik Hospital Ampang untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

"Polis menyeru kepada masyarakat terutamanya dalam kawasan daerah Ampang Jaya sekiranya terdapat kehilangan ahli keluarga untuk tampil ke balai polis terdekat bagi membantu siasatan," katanya.

Disiarkan pada: February 11, 2024 @ 2:57pm
d