mutakhir

Polis sedang kesan suspek lakukan khianat papan tanda Tahun Baharu Cina

Oleh BERNAMA

Georgetown: Polis sedang mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian melakukan khianat membabitkan beberapa papan tanda ucapan Tahun Baharu Cina yang memaparkan wajah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow diconteng menggunakan cat hitam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, pihaknya membuka kertas siasatan kes itu di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan khianat.

"Ya, saya sahkan ada menerima laporan polis oleh Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Bukit Bendera di Balai Polis Pulau Tikus hari ini berhubung kejadian beberapa papan tanda Tahun Baharu Cina telah diconteng cat hitam.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan suspek yang melakukan perkara tersebut dan kita buka kertas siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu DAPSY Bukit Bendera memaklumkan pihaknya membuat laporan polis hari ini selepas papan tanda yang diconteng itu dikesan di beberapa kawasan iaitu Jalan Burma, Jalan Kelawei, Lebuhraya Maktab dan kawasan sekitar sejak semalam.

Disiarkan pada: February 23, 2024 @ 10:46pm
d