mutakhir

Juruwang hamil cedera ditumbuk pelanggan

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Seorang juruwang wanita yang sedang hamil ditumbuk seorang pelanggan wanita sehingga lebam di muka dalam kejadian di sebuah pasar raya di Southkey di sini, kelmarin.

Tular video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi satu minit lima saat yang memaparkan pelanggan wanita dilihat menumbuk muka juruwang terbabit ketika mengambil resit selepas pembayaran dibuat.

Berdasarkan maklumat dikongsikan mangsa dalam Facebook atas nama Zuriani Mahmood, 25, kejadian tersebut berlaku pada jam 3.17 petang semasa wanita tersebut membuat pembayaran dan mahu memulangkan barang yang dibelinya.

"Saya meminta dia untuk menunggu kerana pembelian itu sudah masuk ke dalam sistem juruwang.

"Bagaimanapun wanita tersebut dengan tiba-tiba memarahi dengan nada tinggi dan selepas pembayaran dibuat dia menumbuk muka sehingga mengakibatkan bengkak di bahagian bawah mata sebelah kiri," menurut laporan polis yang dikongsikan mangsa.

Zuriani memaklumkan laporan polis di Balai Polis Majidee di sini pada hari yang sama kejadian berlaku.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi berkata, laporan berhubung kejadian tersebut sedang disemak.

Disiarkan pada: March 11, 2024 @ 3:55pm
d