mutakhir

KPDN akan lakukan semakan terperinci jualan stoking kalimah Allah

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melakukan semakan terperinci susulan penjualan stoking tertera kalimah Allah dijual oleh kedai rangkaian serbaneka.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, semakan itu bagi melihat sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang dan peraturan sedia ada.

"Sebaik sahaja tular, kita telah mendapat aduan rasmi dan KPDN sedang mengambil tindakan serta-merta.

"Kita difahamkan bahawa pihak KK Mart (KK Supermart & Superstore Sdn Bhd) telah mengeluarkan permohonan maaf kerana mereka tidak menyemak produk atau stoking tersebut yang diambil melalui konsainan.

"Namun apapun, kita akan melakukan semakan terperinci sekiranya terdapat pelanggaran terhadap undang-undang dan peraturan sedia ada," katanya ketika penggulungan Titah Diraja peringkat kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial tentang kewujudan stoking tertera kalimah Allah yang dijual secara terbuka di rangkaian kedai runcit tersebut.

Bagaimanapun, KK Mart kemudiannya tampil membuat permohonan maaf susulan penjualan stoking di satu daripada cawangannya.

KK Mart dalam kenyataannya berkata, tindakan serta-merta diambil dengan memberhentikan penjualan stoking tersebut.

Disiarkan pada: March 14, 2024 @ 4:41pm
d