mutakhir

8 kenderaan mewah penyeludup rokok, tembakau dan arak disita

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita lapan kenderaan mewah dianggarkan bernilai hampir RM6 juta milik individu yang dipercayai ada kaitan dengan sindiket penyeludupan tembakau, arak dan rokok.

Menurut sumber, antara kenderaan yang disita ialah Lamborghini, Lexus, Mercedes, BMW, Volvo dan Toyota menerusi operasi khas sekitar Lembah Klang.

Katanya, operasi dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM sejak Isnin lalu dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

"Kenderaan ini disita daripada beberapa individu yang berjawatan sebagai pemilik syarikat serta orang tengah yang membayar wang sogokan kepada pegawai-pegawai di sebuah agensi penguat kuasa," katanya.

Selain itu, sindiket juga dikesan terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram dengan cara 'mencuci duit' melalui 'syarikat hantu', pengurup wang dan syarikat pinjaman wang berlesen.

Sumber berkata, kegiatan penyeludupan itu dipercayai menyebabkan ketirisan hasil cukai yang dianggarkan lebih daripada RM400 juta selain memberi wang rasuah lebih RM8 juta kepada beberapa individu termasuk penjawat awam bagi melancarkan aktiviti mereka.

"Modus operandi sindiket ialah menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka," katanya.

Sementara itu, Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan sitaan lapan kenderaan mewah berkenaan dan individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Metro Ahad hari ini melaporkan sindiket menggunakan taktik seludup masuk barangan seperti arak, tembakau dan rokok dengan membuat pengisytiharan palsu bagi mengaburi pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mereka turut membawa masuk alat ganti kereta dan peralatan kosmetik tanpa kelulusan kastam sebelum 'lolos' apabila penjawat awam tidak melakukan pemeriksaan ketat akibat sudah menerima imbuhan masing-masing.

Disiarkan pada: March 17, 2024 @ 1:28pm
d