mutakhir

Kesuma sasar lebih 50,000 pekhidmat rumah ibadat carum Perkeso

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menyasarkan lebih 50,000 pekhidmat rumah ibadat Islam akan mencarum melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga akhir tahun ini.

Pekhidmat rumah ibadat ini membabitkan bilal, imam, merbut, noja, siak, ustaz, ustazah dan guru takmir.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, ini kerana sehingga Mac lalu, seramai 19,306 orang dari golongan ini telah mencarum dalam Perkeso.

"Pada tahun 2023, pencaruman (golongan) ini melibatkan seramai 38,828 orang dan pada tahun ini (sehingga akhir Mac) 19,306 sudah mula mencarum.

"Pada tahun 2023, ia membabitkan RM9.039 juta dari segi kedudukan kewangan dan tahun ini pula sudah RM4.494 juta.

"Ertinya kita sedang bekerja bersungguh-sungguh untuk menggalakkan pencaruman ini tidak lain tidak bukan untuk masa depan mereka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar Kesuma Perkeso 2024 di sebuah hotel di sini hari ini.

Dalam Majlis Iftar Kesuma Perkeso ini, seramai 40 ibu tunggal atau penjaga dan 92 anak-anak termasuk anak yatim menerima sumbangan hamper serta duit raya sebagai buah tangan kepada mereka untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Selain itu, seramai 13 orang penerima faedah juga diberikan pada majlis ini yang merangkumi empat penerima Faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), empat penerima Faedah Hilang Upaya Kekal (HUK), dua penerima Faedah Hilang Upaya Sementara (HUS) serta dua lagi penerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) melibatkan keseluruhan bayaran berjumlah RM286,916.48.

Salah seorang penerima HUK, Siti Zubaidah Mohammed, 52, yang menerima RM80,959.20 mengucapkan penghargaannya kepada Perkeso serta menyifatkan dia dapat melihat 'hasil' daripada caruman tersebut.

Dia yang bekerja sebagai ketua sokongan operasi di sebuah syarikat akauntan bertauliah turut menggesa agar semua pihak untuk mencarum ke dalam Perkeso.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Perkeso kerana saya didiagnos dengan sakit pada saraf tulang belakang di bahagian 'thoraric' dan terlantar di hospital selepas itu. Perkeso terus memberikan bantuan untuk saya," katanya.

Disiarkan pada: April 2, 2024 @ 10:31pm
d