mutakhir

PERKESO laksana Inisiatif Pengecualian Cukai bagi Syarikat Swasta - SKSSR

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melaksanakan Inisiatif Pengecualian Cukai bagi Syarikat Swasta bagi Caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Sosial Suri Rumah PERKESO Kasthuri Patto berkata, langkah itu diambil untuk memberi sokongan kewangan kepada pekerja wanita daripada golongan berpendapatan rendah atau B40.

Menurutnya, pelaksanaan SKSSR hasil pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) PERKESO bersama Yayasan Kebajikan Negara Malaysia (YKNM) pada 14 Mac lalu berkenaan pengecualian cukai pendapatan mengikut peruntukan seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

"MoU ini berkaitan tajaan SKSSR oleh syarikat untuk pekerja wanita dan isteri pekerja atau mana-mana wanita yang termasuk dalam kategori B40 atau M40 (berdasarkan pendapatan per kapita), akan diberi pengecualian cukai pendapatan.

"Tajaan SKSSR dengan pengecualian cukai atau tanpa pengecualian cukai ini adalah satu sumbangan murni syarikat-syarikat serta memanfaatkan keuntungan syarikat demi kebajikan pekerja dan keluarga mereka.

"Manakala bagi kategori pekerja wanita yang tidak layak mendapat pengecualian cukai, syarikat masih boleh membuat penajaan berasaskan konsep solidariti majikan demi untuk kebajikan pekerja syarikat secara menyeluruh," katanya.

Beliau ditemui pada sesi taklimat pengecualian cukai dan siri jelajah untuk caruman SKSSR yang diadakan di Menara PERKESO, di sini, pagi ini.

Turut hadir pada sesi itu ialah Ketua Cawangan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Bahagian Sinergi Rohana Mohamad.

Menurutnya, lanjutan daripada MoU itu, PERKESO bakal mengadakan siri jelajah bersama majikan di seluruh negara dengan objektif utama untuk memberi penerangan kepada majikan di sektor swasta, badan berkanun, Government Linked Companies (GLCs), Koperasi, Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau mana-mana institusi berkaitan kaedah dan prosedur penajaan SKSSR.

Sebanyak tujuh siri jelajah dirancang bermula bulan ini hingga Julai depan di Wisma PERKESO, di sini.

"Sesi akan membabitkan majikan di pelbagai sektor seperti perbankan, peruncitan, perkilangan, automotif, komunikasi, perhotelan dan sebagainya. Ia juga turut diperluaskan untuk dilaksanakan oleh pejabat PERKESO di seluruh negara dan mengikut keperluan wakil rakyat yang juga boleh membuat pencaruman untuk suri rumah B40 atau M40 di kawasan mereka.

"Impak daripada sesi ini dijangka akan meningkatkan keterjaminan perlindungan sosial yang lebih komprehensif melalui perlindungan SKSSR khusus untuk pekerja wanita serta isteri pekerja dengan pengecualian cukai bagi kategori wanita B40 atau M40," katanya.

Sepuluh syarikat swasta seperti Tropicana Corporation Berhad, Malayan Banking Berhad, Berjaya Corporation Berhad, Merchantrade Sdn Bhd, CIMB Bank, Mesiniaga Berhad, Sime Darby Property, Lembaga Tabung Haji, Cagamas Berhad dan Jakel Group sudah menaja caruman SKSSR yang berjumlah RM558,360 yang memanfaatkan 4,864 wanita daripada golongan B40.

Sehingga 21 April lalu, 253,794 wanita sudah mencarum di bawah SKSSR dan jumlah pembayaran faedah kepada pencarum SKSSR sehingga 15 April berjumlah RM1,596,324.66.

Disiarkan pada: May 3, 2024 @ 12:58pm
d