mutakhir

KPT bimbang graduan sektor berteknologi tinggi tak mencukupi

Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyuarakan kebimbangan kemungkinan berlakunya ketidakcukupan graduan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor berteknologi tinggi di negara ini termasuk yang terbaru pelaburan Microsoft.

Timbalan Menterinya, Datuk Mustapha Sakmud berkata, kemungkinan itu berdasarkan minat pelajar sekolah menengah di seluruh negara terhadap bidang sains, teknologi dan matematik (STEM) yang dilihat merosot sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, penurunan itu ditunjukkan menerusi bilangan pelajar tingkatan empat mengambil aliran sains yang semakin rendah berbanding aliran sastera atau bukan sains.

Katanya, data pada tahun lalu menunjukkan hanya 22.8 peratus pelajar tingkatan empat seluruh negara mengambil aliran sains di sekolah menengah dengan Sabah mencatat peratusan paling rendah dalam kalangan semua negeri.

"Penyediaan bakat di peringkat pendidikan tinggi adalah bergantung kepada jumlah bakat dari pendidikan STEM yang dibekalkan dari peringkat sekolah.

"Dalam konteks ini, saya gusar dengan statistik peratus enrolmen pelajar tingkatan empat yang mengambil aliran sains pada 2023. Data menunjukkan Sabah mencatat peratusan terendah iaitu 12.35 peratus berbanding purata keseluruhan sebanyak 22.8 peratus.

"Penurunan bilangan pelajar peringkat sekolah yang mengambil jurusan STEM turut berkait dengan penurunan bilangan permohonan pelajar yang memohon jurusan STEM di peringkat pengajian tinggi.

"Ini akan menjejaskan jumlah pengeluaran graduan dalam sektor berteknologi tinggi dan memberi implikasi jangka panjang kepada pertumbuhan industri dan ekonomi," katanya pada sidang media, di sini, malam tadi.

Katanya, tumpuan terhadap STEM penting bagi memastikan negara tidak ketandusan bakat atau tenaga kerja mahir dalam bidang berteknologi tinggi bagi memenuhi keperluan industri.

Beliau memberi contoh Microsoft yang mengumumkan akan melabur RM10.5 bilion dalam infrastruktur awan dan kecerdasan buatan (AI) di negara ini memerlukan graduan yang memiliki kemahiran berkaitan STEM.

Mustapha berkata, KPT memberi perhatian terhadap usaha meningkatkan penyertaan pelajar dalam pendidikan STEM sejajar peranannya sebagai pembekal bakat dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI).

Katanya, KPT berpendirian masih banyak ruang dan peluang untuk meningkatkan akses dan kualiti keberhasilan pembelajaran STEM dalam kalangan pelajar di negara ini.

"Di peringkat nasional, saya difahamkan akan diwujudkan Jawatankuasa Bakat STI Negara di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang akan menyediakan analisis permintaan dan penawaran bakat STI negara.

"Pembabitan Kementerian Pendidikan Tinggi adalah sebagai ahli tetap dalam jawatankuasa itu. Bagi menyokong perkara itu, ada keperluan untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji hala tuju STEM di peringkat sekolah hingga ke pendidikan tinggi.

"Tumpuan harus diberikan kepada usaha meningkatkan penyertaan pelajar dalam STEM. Jadi, fokus kerjasama dengan Kementerian Pendidikan adalah dalam konteks sekolah sebagai pembekal kepada kemasukan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT)," katanya.

Beliau berkata, di peringkat kementeriannya, beberapa usaha turut dilaksanakan bagi meningkatkan minat dan penyertaan pelajar terhadap STEM, antaranya menerusi program MySTEM Ambassador di IPT yang boleh mempromosikan STEM kepada pelajar sekolah.

Berdasarkan statistik permohonan UPUOnline 2023, hanya 89,625 atau 36.69 peratus daripada 237,805 pemohon yang layak diberi penempatan di IPT adalah permohonan mengikuti program STEM atau sains.

Disiarkan pada: May 4, 2024 @ 12:58pm
d