mutakhir

Perkeso rancang buka pusat dialisis di Pulau Pinang

Oleh Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan membuka sebuah pusat dialisis di negeri ini bagi membantu pencarum yang menghidap penyakit buah pinggang mendapatkan rawatan secara percuma.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, sejumlah RM2.6 juta akan diperuntukkan oleh Perkeso bagi tujuan berkenaan.

Katanya, pusat dialisis yang boleh menempatkan seramai 144 orang pesakit pada setiap hari itu dijangka dapat dilaksanakan akhir tahun ini.

"Pada ketika ini, Pulau Pinang mempunyai 63 panel pusat dialisis termasuk lima di Kepala Batas dan kita akan buka sebuah lagi pusat dialisis (dikendalikan Perkeso) untuk manfaat pencarum yang mempunyai masalah buah pinggang.

"Kita pasti Perkeso akan memberikan perkhidmatan paling terbaik dan kemudahan yang selesa sepanjang mereka mendapatkan rawatan di pusat dialilis yang disediakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) Madani Perkeso di Vision Park, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Perkeso Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Pada majlis berkenaan, Perkeso menyampaikan bayaran faedah kepada 15 pencarum yang ditimpa musibah dengan nilai keseluruhan berjumlah RM211,236.41 berserta alat pemulihan.

Dalam pada itu, seramai 100 anak yatim dan 40 ibu tunggal turut menerima sumbangan duit raya daripada Perkeso.

Disiarkan pada: May 4, 2024 @ 4:21pm
d