mutakhir

YBR rai 200 graduan IPT cemerlang

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukkan RM200,000 nilai keseluruhan wang tunai kepada 200 graduan lepasan Sarjana Muda dan Sarjana yang berjaya menamatkan pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) masing-masing dengan cemerlang.

Acara memasuki tahun keenam ini dimulakan sejak 2018 dengan hanya 25 graduan sahaja yang berjaya menerima anugerah itu.

Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang berkata, sagu hati dan sijil itu sebagai tanda penghargaan selepas kumpulan pelajar yang menamatkan pengajian sejak Julai 2023 itu meraih Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.5 ke atas.

"Ganjaran wang tunai bernilai RM1,000 sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang menunjukkan pencapaian yang membanggakan sepanjang tempoh pengajian mereka.

"Seramai 187 graduan dari peringkat ijazah Sarjana Muda manakala 13 graduan dari peringkat ijazah Sarjana tersenarai menerima anugerah ini yang diharap dapat memberi dorongan serta memotivasikan graduan untuk lebih berjaya serta membantu graduan yang berada dalam industri pekerjaan.

"Anugerah ini, salah satu usaha YBR bagi menghargai dan memberi inspirasi kepada pelajar untuk mencapai keputusan akademik yang terbaik serta menyokong agenda pendidikan negara dalam melahirkan modal insan mahir," katanya pada Majlis Kecemerlangan Akademik 2023 di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR merangkap Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak.

Sementara itu, Ewon mencadangkan Bank Rakyat meningkatkan dana kepada YBR bagi memanfaatkan lebih ramai pelajar memerlukan.

"Hari ini masih ramai pelajar yang sukar untuk meneruskan pengajian, masih ada yang panjat pokok untuk mendapatkan talian Internet hanya untuk menghantar tugasan. Begitu juga keluarga yang terkesan dengan sara hidup tinggi.

"Jadi, saya mengharapkan perkara ini dibincangkan dalam mesyuarat agung YBR supaya lebih ramai anak muda naik ke pentas ini dan masuk belajar di IPT," katanya.

Pada majlis sama, YBR juga menyerahkan 25 komputer riba kepada 25 pelajar cemerlang matrikulasi tajaan YBR dalam kalangan B40 untuk melanjutkan pengajian ke peringkatIPT.

Inisiatif ini satu jalinan usaha bersama Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM) sejak 2023 untuk memberikan suntikan semangat kepada pelajar cemerlang matrikulasi yang kurang berkemampuan untuk belajar dalam suasana pembelajaran kondusif.

Setiap tahun, YBR memilih 25 pelajar cemerlang matrikulasi menerima biasiswa di bawah program biasiswa YBR-BMKPM selama empat tahun merangkumi elaun sara diri, elaun buku, pemberian komputer riba serta peruntukan Bantuan Awal Pengajian (BAP) sebagai persediaan untuk memulakan semester.

Disiarkan pada: May 9, 2024 @ 5:47pm
d