mutakhir

Harap lebih banyak Co-opbank Pertama di pedalaman Sabah

Oleh Rafiqah Dahali

Papar: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berharap Co-opbank Pertama (CBP) dapat mempertimbangkan untuk membuka cawangan seterusnya di pedalaman Sabah.

Katanya, ia perlu bagi memudahkan rakyat untuk berurusan khususnya berkaitan perkhidmatan perbankan.

"Kita faham institusi perbankan ini juga mempunyai tatakelolanya sendiri, mereka akan buat penyiasatan terlebih dulu sama ada mereka boleh membuka cawangan baru.

"Tetapi secara peribadi, saya menjemput CBP untuk melihat kemungkinan (pembinaan) cawangan baru di sebelah pedalaman Keningau, ia salah satu daerah dan pekan yang besar di Sabah.

"Saya percaya mereka juga akan meneliti cadangan tersebut. Ini cadangan saya kepada CBP tetapi keputusan itu terpulang kepada mereka," katanya selepas Majlis Perasmian Co-opbank Pertama Cawangan Papar bertempat di Parklane City Benoni, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Papar merangkap Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.

Pada majlis berkenaan,beliau turut merasmikan Bank Bergerak CBP pertama di Sabah sebagai inisiatif memberi kemudahan kepada penduduk daerah ini.

Disiarkan pada: May 10, 2024 @ 12:47pm
d