mutakhir

Selamba buka 'pasar mini' tepi jalan

Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Tindakan warga asing dan tempatan menjual barangan basah di kaki lima berhampiran Jalan Hang Jebat bukan hanya salah di sisi undang-undang, bahkan merosakkan imej ibu negara.

Ini kerana 'pasar mini' itu dibuka berhampiran Merdeka 118, salah satu mercu tanda di ibu negara dan ia menerima kecaman ramai selepas tular di media sosial.

Susulan itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak menggempur kawasan itu dalam serbuan Tindakan Khas Terhadap Penjaja Tanpa Lesen, semalam.

"Bertindak di atas perkongsian (tular) berkenaan, semalam pegawai dan anggota penguat kuasa DBKL menjalankan siasatan di lokasi berkenaan.

"Didapati tiga aktiviti penjualan secara haram dijalankan melibatkan penjaja telur ayam dan dua penjaja sayuran, buah-buahan, ikan dan barangan am," kata DBKL dalam kenyataan.

Menurutnya, DBKL kemudian menyita ketiga-tiga gerai berkenaan dan mengeluarkan dua notis kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016.

"Kesemua barangan yang disita dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras.

"DBKL akan meneruskan pemantauan dan tindakan dari masa ke semasa. Sebarang maklumat dan aduan boleh disalurkan di laman sesawang Adu@KL di pautan adukl.dbkl.gov.my," katanya.

Disiarkan pada: May 11, 2024 @ 11:47am
d