mutakhir

Sudahlah tiada lesen memandu, berani pula pertikai JPJ

Oleh BERNAMA

Bukit Mertajam: Seorang warga Pakistan bukan sahaja memandu tanpa lesen, malah turut besar kepala mempertikaikan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menahannya ketika Ops Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) di sekitar Taman Arowana dan Taman Pelangi di sini, semalam.

Dalam hantaran di Facebook hari ini, JPJ Pulau Pinang berkata ketika pemeriksaan di Taman Arowana, pihakya menyita sebuah lori dipandu lelaki Pakistan.

Katanya, ketika ditahan, lelaki asing berkenaan turut menunjukkan lagak mempertikai penguatkuasaan JPJ serta enggan memberi lesen memandu.

"Pemeriksaan mendapati dia tiada Lesen Memandu Kenderaan Barangan ( GDL)," katanya.

Dalam operasi itu, JPJ Pulau Pinang menyita 15 motosikal dan sebuah lori yang digunakan warga Pakistan, Rohingya, Bangladesh dan Indonesia kerana tidak memiliki sebarang dokumen sah khususnya tiada lesen memandu.

"JPJ turut menyita tujuh motosikal di Taman Arowana manakala di Taman Pelangi sebanyak lapan motosikal disita," menurut hantaran itu.

Penguatkuasaan itu dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil terhadap pemandu warga asing tanpa kompromi yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang.

Disiarkan pada: May 16, 2024 @ 10:29am
d