mutakhir

Lelaki nyaris rentung, BMW terbakar

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Sungai Besar: Lelaki nyaris rentung apabila kenderaan pelbagai guna (SUV) mewah dipandunya terbakar secara tiba-tiba di jalan besar Sungai Nipah, Simpang Lima, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan, 4.02 petang tadi.

Beliau berkata, tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar dikejarkan ke lokasi.

"Menurut maklumat awal, mangsa berusia 46 tahun yang memandu BMW X5 menyedari asap keluar dari bahagian 'dashboard' lalu memberhentikan kenderaannya di tepi jalan.

"Pada masa sama, kereta itu tiba-tiba terbakar. Lelaki itu berjaya menyelamatkan dirinya dan tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi.

Ahmad Mukhlis berkata, mereka mengambil kira-kira 30 minit untuk memadamkan kebakaran.

"Anggaran kemusnahan kereta itu kira-kira 95 peratus," katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2024 @ 6:08pm
d