mutakhir

'Saman sebab malas jalan jauh'

Oleh Samadi Ahmad

Cyberjaya: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menyangkal dakwaan pihaknya tidak bertolak ansur dan bertindak sesuka hati dalam mengenakan saman serta menunda kenderaan di kawasan tertentu di Cyberjaya.

Sebaliknya, Yang Di Pertua MPSepang Datuk Abd Hamid Hussain berkata, tindakan dibuat berdasarkan aduan orang ramai yang melaporkan trafik terhalang.

Menurutnya, kawasan tempat letak kenderaan disediakan mencukupi termasuk oleh pihak pemaju, sama ada di kawasan perniagaan mahupun apartmen dan kondominium.

"Penduduk perlu mengubah sikap dengan meletak kenderaan di tempat betul supaya tidak menghalang laluan dan bagi mengelak kemalangan terutama di bahu jalan," katanya.

Abd Hamid turut menyangkal dakwaan pihaknya mengambil kesempatan terhadap keperitan hidup penduduk dengan tindakan itu, sebaliknya menegaskan soal keselamatan tidak boleh diambil ringan.

Katanya, isu parkir tidak cukup timbul apabila penduduk lebih gemar parkir kenderaan di kawasan paling dekat ketika berurusan seperti membeli barang atau menjamu selera di restoran.

"Namun sebenarnya tindakan itu menyusahkan banyak pihak.

"Walaupun ada banyak lot parkir disediakan, faktor utama perkara ini timbul ialah pengguna tidak mahu berjalan jauh dan enggan bayar caj parkir.

"Di Malakat Mall umpamanya, ada parkir disediakan di belakang dan dalam bangunan namun tetap ada pengguna meletak kenderaan di bahu jalan," katanya.

Katanya, antara kawasan yang sering dipantau penguat kuasa ialah di luar kawasan Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing g, Neocyber dan Shaftsbury Square, pusat beli-belah Dpulze dan beberapa lokasi tumpuan pengunjung.

Katanya, kompaun boleh dikeluarkan mengikut kesalahan Peruntukan 8(1) Meletak Kenderaan, Undang-undang Kecil (UUK) Taman (Majlis Perbandaran Sepang) 2005.

Katanya, ketika ini MPSepang memberi nasihat kepada pemilik supaya tidak meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan sehingga boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas.

"Kita tidak mahu kenderaan diletakkan di tempat tidak dibenarkan kerana kawasan pakir sememangnya mencukupi dan jangan salahkan PBT sekiranya kenderaan ditunda atau dikenakan kompaun," katanya.

Disiarkan pada: May 21, 2024 @ 7:03am
d