mutakhir

Empat individu masak di stesen minyak dihukum denda

Oleh BERNAMA

Bentong: Empat individu termasuk tiga wanita yang video mereka tular di media sosial kerana memasak mi segera di kawasan stesen minyak di Genting Highlands minggu lalu, didenda RM500 atau penjara tiga hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Nadhratun Naiem Zainan menjatuhkan hukuman itu ke atas peniaga kedai makan Fadhli Zil Ikram Sazalin Isran Ji, 24, pegawai perkhidmatan pelanggan Nurfatin Irdina Shahrulnizam, 24, pembantu pergigian Nur Anis Salleh, 24, dan ejen hartanah Nur Azira Azman, 23, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama memasak menggunakan dapur gas dalam kawasan stesen minyak Taman Cendawan, Genting Highlands di sini pada 1.30 pagi, 12 Mei lepas, yang merupakan perbuatan gopoh sehingga membahayakan keselamatan orang lain.

Pendakwaan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Nadhratun Naiem mempersoalkan tindakan kesemua tertuduh melakukan aktiviti memasak di kawasan stesen minyak berkenaan.

Nadhratun Naiem: Bagaimana timbul idea untuk memasak di stesen minyak?

Nurfatin Irdina: Kami tidak bercadang untuk masak di stesen minyak itu sebab nak masak di kawasan lain, tetapi kawasan itu penuh, kami tidak sengaja.

Nadhratun Naiem: Kalau tidak sengaja, kenapa sampai muat naik video dalam media sosial?

Nurfatin Irdina: Kami mengaku itu silap kami.

Nadhratun Naiem: Kamu tidak tahu ke bahaya masak di stesen minyak?

Fadhli Zil Ikram: Kami memang rancang nak masak di Genting Highlands tetapi di luar kawasan stesen minyak itu. Kami ramai-ramai hanya mahu isi minyak dan duduk di situ sekejap. Ia berlaku secara rawak kerana kami lapar dan kami masak di situ kerana kawasan itu agak jauh dari pam minyak, ia (kawasan masak) berhampiran dengan laluan ke tandas. Kami sangka tangki minyak di bahagian lain.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid memohon hukuman denda maksimum terhadap kesemua tertuduh bagi memberi pengajaran selain mengambil kira kesalahan serius sehingga menimbulkan persepsi dan kontroversi negatif dalam kalangan masyarakat.

"Tertuduh melakukan kesalahan dengan perbuatan gopoh iaitu memasak dengan menggunakan dapur gas di kawasan larangan dan memuat naik video sehingga tular di media sosial.

"Perbuatan tertuduh melakukan aktiviti memasak di kawasan berkenaan boleh menimbulkan bahaya dan kecelakaan bukan hanya kepada tertuduh tetapi juga orang sekeliling di kawasan stesen minyak berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, Fadhli Zil Ikram, Nurfatin Irdina, Nur Anis dan Nur Azira yang masing-masing tidak diwakili peguam merayu hukuman denda dengan alasan menanggung ibu bapa dan keluarga, selain ini merupakan kesalahan kali pertama dan mereka mengakui kesalahan tersebut.

Sebelum ini, tular video di media sosial menunjukkan sekumpulan individu memasak mi segera dengan menggunakan dapur gas di sebuah stesen minyak sehingga menimbulkan kebimbangan dan kegusaran masyarakat.

Disiarkan pada: May 21, 2024 @ 12:58pm
d